Tuesday 30 November 2021

Tazkirah Subuh : Peringatan dari AlQuran 📖 : Jawapan Masalah Kehidupan

Salam Selasa
25 Rabiul Akhir 1443H 
30 Nov 2021M


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتهُ
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم

Manusia seringkali mengeluh dengan apa yang berlaku tanpa mengambil kira hikmah atau pengajaran disebalik apa yang terjadi. Allah telah ada jawapan pada setiap apa yang berlaku...

Ketika kita mengeluh:
“eeeiii, aku penat sangat..."
Allah menjawab:

وَّجَعَلْنَا نَوْمَكُمْ سُبَاتًا 

"Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat?"
(An-Naba': 9)

Ketika kita mengeluh:
“Beratnya dugaan ni, tak sanggup rasanya aku..."
Allah menjawab:

لَا يُكَلِّفُ اللّٰهُ نَفْسًا اِلَّا وُسْعَهَا 

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya."
(Al-Baqarah: 286)

Ketika kita mengeluh:
“Serabutnyaa..."
Allah menjawab:

اَلَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوْبُهُمْ بِذِكْرِ اللّٰهِ   ؕ  اَ لَا بِذِكْرِ اللّٰهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوْبُ 
  
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia."
(Ar-Ra'd: 28)
Ketika kita mengeluh:
“Apa yang aku buat ni semua sia-sia..."
Allah menjawab:

فَمَنْ يَّعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَّرَهٗ 
 
"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!"
(Az-Zalzalah: 7)

Ketika kita mengeluh:
“Tak ada sorang pun yang nak tolong aku..."
Allah menjawab:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُوْنِيْۤ اَسْتَجِبْ لَـكُمْ 

"Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu."
(Ghafir: 60)

Ketika kita mengeluh:
“Aku sedih sangat...”
Allah menjawab:

لَا تَحْزَنْ اِنَّ اللّٰهَ مَعَنَا

"Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita".
(At-Taubah: 40)

Ar-Rahmannya meliputi segalanya. Ar-Rahim hanya kekasihnya.

اَحَسِبَ النَّاسُ اَنْ يُّتْرَكُوْۤا اَنْ يَّقُوْلُوْۤا اٰمَنَّا وَهُمْ لَا  يُفْتَـنُوْنَ

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"
(Al-'Ankabut: 2)

كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ ؕ  وَنَبْلُوْكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً  ؕ  وَاِلَيْنَا تُرْجَعُوْنَ

"Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan."
(Al-Anbiya: 35)

Segala yang baik (Kekayaan, kemewahan, jawatan dan sebagainya) dan segala yang buruk (Iblis, Syaitan, maksiat, musibah dan sebagainya), semua itu datang dari Allah. Semata-mata untuk menguji kita.

Dan ujian yang paling bahaya adalah ujian kebaikan (kaya, harta, kuasa, kuat, rajin, boleh solat awal waktu, boleh sedekah selalu dan segala kebaikan) dan dalam dirinya pula tersemat keAKUan. Semua aku dan suka melihat keburukan org lain. Tidak melihat yang baik itu semua datang dari Allah SWT.

Allah SWT berfirman:

كَلَّاۤ اِنَّ الْاِنْسَانَ لَيَطْغٰٓى (٦)

اِنَّ  اِلٰى رَبِّكَ الرُّجْعٰى (٨)
 
"Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya),"(6)
"(Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmu lah tempat kembali (untuk menerima balasan)."(8)
(Al-'Alaq: 6 & 8)

Keindahan kehidupan dunia adalah sebagai ujian. Bersabarlah  kita dalam menghadapinya.

زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ ۚ 
"yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya".
(Taha: 131)

Baca doa ini ketika didalam kesusahan, ujian atau musibah.

ِ لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ.

"Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri".
(Al-Anbiya': 87)

Justeru, syukurilah nikmatNya dan redhalah dengan ujianNya. Muhasabahlah dirimu........

No comments: