Salam Jumaat
07 Rabi'ul Akhir 1443H
12 Nov 2021M
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتهُ
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم
Perhalusi mengenal dan mendidik budi...
خُلِقَ ٱلْإِنسَـٰنُ مِنْ عَجَلٍ ۚ سَأُو۟رِيكُمْ ءَايَـٰتِى فَلَا تَسْتَعْجِلُونِ ﴿٣٧
Manusia telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa. Kelak akan Aku perIihatkan kepadamu tanda-tanda azab-Ku. Maka janganlah kamu minta kepada-Ku mendatangkannya dengan segera.
(Al Anbiya': 37)
Oleh kerana itu, manusia perlu belajar, berlatih mendidik dan mengawal diri agar tidak dikuasai oleh sikap dan perangai tergopoh-gapah, tergesa-gesa dan terburu-buru. Bahkan belajarlah tenang dan berhati-hati (anaah أناة)
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْأَنَاةُ مِنْ اللَّهِ وَالْعَجَلَةُ مِنْ الشَّيْطَانِ
رواه الترمذي
Sifat hati-hati (waspada) itu dari Allah dan tergesa-gesa itu godaan dari syaitan.
(Hadith Riwayat At-Tirmidzi)
قال ابن القيم: لا حكمة لجاهل ولا طائش ولا عجول
Imam Ibnu Qayyim berkata:
"Tidak ada hikmah kebijaksanaan bagi seorang yang jahil, juga seorang yang cuai dan juga seorang yang terburu-buru".
Menurut Imam al-Ghazali:
Sifat anaah ( أناة ) itu merangkumi dua prinsip, iaitu tawaqquf ( توقف ) dan taanni ( تأني ). Maksud tawaqquf ialah terlebih dahulu menyelidiki sesuatu urusan sebelum memulakan pelaksaannya sehingga ternyata kebenaran dan kebaikannya, manakala taanni bermaksud, berhati-hati-hati pada permulaan dan semasa melaksana sesuatu urusan supaya berjalan dengan lancar dan sewajaranya, sehingga tercapai matlamat. Tindakan berhati-hati dalam beribadat dan menangani segala urusan (mengikut konsep anaah) itu amat dituntut, manakala tergesa-gesa atau tergopoh-gapah (al-'ajalah) itu ditegah.
Sikap gopoh-gapah, tergesa-gesa dan terburu-buru merupakan penyakit hati berpunca daripada keinginan nafsu yang tersembunyi yang mendesak seseorang agar segera mengerjakan sesuatu urusan sebaik-baik sahaja terlintas di hati, tanpa perancangan dan pertimbangan terlebih dulu. Urusan itu lalu dikerjakan dengan terburu-buru nafsu. Khususnya dalam berbuat amal kebajikan, ada orang yang ingin segera mencapai martabat yang tinggi, lalu dengan tergopoh-gapah mengerjakan ibadat supaya segera mencapai hajatnya itu. Orang yang bergopoh-gapah seperti itu hanya akan bersungguh-sungguh mengerjakan ibadatnya pada peringkat awalnya saja. Apabila hajatnya, matlamat ibadatnya, tidak tercapai dalam masa yang singkat, dia mudah menjadi lemah dan terus kecewa, lantas dia meninggalkan kesungguhannya itu. Kesungguhan dan kegopohannya itu menyebabkan dia kepenatan dan tidak terdaya lagi hendak meneruskan ibadatnya. Akhirnya, kerja ibadatnya terbengkalai dan cita-cita ingin mencapai martabat idamannya itu luput dengan begitu saja. Dalam keadaan bergopoh-gapah, kerapkali seseorang itu melakukan kesilapan atau kecuaian sehingga melakukan kerja di luar kebajikan pula atau menyeleweng dari syariat.
قال شداد بن أوس: رأيت النبي صلى الله عليه و سلم يبكي، فقلت: ما يبكيك يا رسول الله؟ قال:
أخوف ما أخاف على أمتي الشرك والشهوة الخفية. قلت: يا رسول الله أتشرك أمتك من بعدك؟ قال: نعم أما إنهم لا يعبدون شمساً ولا قمراً ولا حجراً ولا وثناً ولكن يراؤون بأعمالهم
[أخرجه الإمام أحمد عن شداد بن أوس ]
Syidad bin Aus RA berkata:
"Aku melihat Rasulullah SAW menangis, maka aku berkata: "Apa yang menyebabkan engkau menangis wahai Rasulullah". Rasulullah SAW bersabda: "Yang paling aku takut ke atas ummatku ialah syirik dan syahwat yang tersembunyi. Aku bertanya: "Wahai Rasulullah! apakah ummatmu akan berlaku syirik selepas kewafatanmu?". Nabi SAW bersabda: "Ya, mereka tidak menyembah matahari, bulan, batu dan berhala tetapi mereka berlaku riya' dengan amalan mereka".
(Hadith Riwayat Ahmad)
Maka tidak hairan seorang alim boleh jadi fasiq, seorang ahlu ibadah boleh jatuh ke dalam maksiat, seorang pemimpin boleh jadi rakus dan sombong. Tambah lagi orang awam yang jahil akan lebih jauh dan dalam kelalaian dan kecuaiannya bila dikuasai nafsu sehingga membawa kepada sikap dan perangai gopoh, terburu-buru dan tergesa-gesa.
Justeru, berhati-hati dan bersabarlah........
No comments:
Post a Comment