Tuesday, 2 November 2021

Tazkirah Subuh : Peringatan dari AlQuran 📖 : Dosa Yang Meresahkan Jiwa

Salam Ahad
24 Rabi' al-Awwal 1443H 
31 Okt 2021M


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتهُ
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم

Dosa itu meresahkan jiwa kerana orang yang berdosa bukan sahaja menentang Ilahi tetapi menentang hati nuraninya sendiri.

وَٱللَّهُ لَا یُحِبُّ كُلَّ كَفَّارٍ أَثِیمٍ
"Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa."
(Al-Baqarah: 276)

Dosa bukanlah perkara remeh kerana dosa akan membawa manusia ke neraka, iaitu tempat azab yang paling dahsyat. Kita mesti benci dan takut melakukan dosa sepertimana kita tidak mahu tercampak ke dalam api neraka. Dosa itu menjadi punca murka Allah kepada kita. Apabila Allah murka, hidup kita tidak akan diredhai di dunia mahupun di akhirat. Kita lihat sahaja akibat yang berlaku kepada kaum-kaum terdahulu oleh kerana dosa yang mereka lakukan.

Allah inginkan kita belajar daripada pendosa. Banyak ibrah yang boleh diambil daripada sisi gelap sama seperti sisi terang pada sesuatu peristiwa. Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk (jahat) dijadikan sempadan. Setiap pendosa pasti akan mendapat balasan, samada cepat atau lambat sahaja. Impak dosa pasti berlaku.

وَمَاۤ اُبَرِّئُ نَفْسِيْ ۚ  اِنَّ النَّفْسَ لَاَمَّارَةٌۢ بِالسُّوْٓءِ اِلَّا  مَا رَحِمَ رَبِّيْ  ؕ اِنَّ رَبِّيْ غَفُوْرٌ رَّحِيْمٌ

"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Yusuf: 53)

Al-Nawwas bin Sam’an al-Ansari bertanya kepada Rasulullah SAW,
“Apakah yang dimaksudkan dengan kebajikan dan dosa?”
Baginda bersabda yag ertinya:
“Dosa ialah apa yang menimbulkan resah di hati kamu dan kamu benci jika ia dilihat orang”.
(Hadith Riwayat Muslim) 

Kita terlupa bencana akibat dosa boleh datang dengan tiba-tiba. Rasulullah SAW pernah berdoa memohon agar Allah tidak menurunkan bala bencana ketika gerhana berlaku. Baginda akan solat dengan penuh tawaduk dan Baginda berdoa yang bermaksud:
“Tuhanku! Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), dan aku  berada bersama mereka . Tidakkan engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), sedangkan mereka adalah orang yang bertaubat”.
(Hadith Riwayat Abu Daud) 

Itulah sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, insan yang maksum daripada dosa dan dijamin masuk syurga. Dengan segala kelebihan itupun Baginda masih tidak terasa ada jaminan keselamatan daripada bala bencana. Sinisnya, bagaimana nasib kita yang setiap masa bergelumang dengan kemungkaran dan kemaksiatan, kadang-kadang hidup di tengah kota yang dikelilingi premis dosa? Walau bagaimanapun, bencana alam atau apa jua musibah dan lain masalah  sebenarnya boleh membawa rahmat jika kita dapat mencungkil ibrahnya yang tersirat. Ia boleh diumpakan sebagai racun kepada hati yang derhaka kepada Allah tetapi penawar kepada hati yang tunduk dan patuh kepada Allah. 

Daripada Thauban RA, Nabi SAW bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya seseorang insan terhalang daripada mendapat rezeki lantaran dosa yang dilakukanya”.
(Hadith Riwayat Ibnu Majah)

Moga kita tidak ditimpa azab yang membinasakan oleh Allah SWT...

 فَدَمْدَمَ عَلَيْهِمْ رَبُّهُمْ بِذَنْبِهِمْ فَسَوَّاهَا

"Dengan sebab dosa mereka, maka Tuhan menimpakan mereka dengan azab yang membinasakan serta Ia meratakan azab itu meliputi mereka (sehingga punah-ranah semuanya)."
(Ash-Shams: 14)

Bertaubatlah. Jika kita bertaubat, Allah berjanji akan menghapus semua akibat dosa buruk kita. Pintu taubat masih terbuka luas untuk kita.

اِلَّا مَنْ تَابَ وَاٰمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًاصَالِحًـا فَاُولٰٓئِكَ يُبَدِّلُ اللّٰهُ سَيِّاٰتِهِمْ حَسَنٰتٍ  ؕ  وَكَانَ اللّٰهُ غَفُوْرًا رَّحِيْمًا

"Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Al-Furqan: 70)

Semoga kita  semua diampunkan oleh Allah SWT terhadap dosa-dosa kita yang telah lalu dan akan datang dan di beri-Nya rahmat dan keredhaan-Nya didunia dan akhirat.

Justeru, jauhilah semua dosa-dosa kecil atau besar dalam hidup kita dan sentiasa menghidupkan hati kita dengan iman dan taqwa dan sentiasa muraqabah dengan Allah SWT.......

No comments: