Saturday 23 January 2021

Jadikan aku golongan yang SEDIKIT

 Sedikit..

Makin sakit..

Biarkan melecet..

Akhiran tidak diungkit..


Kental digenggam bara yg membakar..

Ditentang umat terasa sukar..

Tekadkan cinta sehingga mekar..

Agar tak sesat di jalan yg benar.


Zaman berlalu dunia pun layu..

Gigitlah akhirat dengan gerahammu..

Akidah dipegang untuk Yang Satu..

Masihkah di hatimu ada yg ragu?


Panas dirasa tidak mematikan..

Seksanya dahsyat luar gambaran..

Ingatan buat seluruh kejadian..

Sama kembali mengikut ajaran.


Si gagak putih terbang mencari..

Terlihat aneh di kalangan sendiri..

Banyak telah kaburkan realiti..

Sedikit itu bukan fantasi.


Sukar hidup dalam kenikmatan..

Sifat manusia keluh berpanjangan..

Sudah diingatkan tingkatkan kesyukuran..

Agar ditambah rasa kecukupan.


Menjadi yang sedikit itu impian..

Ditempa dengan usaha dan iman..

Sesuatu yg mahal perlu bayaran..

Jangan digerun dunia ujian.


Dikatakan apabila menghampiri kematian dunia, fitnah dan ujian mulai berleluasa. Pihak yang benar didustakan, pihak yang batil diangkat sebagai sanjungan.

Tidak perlu melihat situasi ini di peringkat pemimpin dunia dan negara tetapi pandanglah kepada diri sebagai pemimpin diri sendiri.

Pemimpin kepada institusi keluarga..

Pemimpin kepada institusi dan organisasi di tempat kerja.

Di media sosial dan juga di persekitaran.

Di rumah, tempat ibadat, surau dan masjid, kejiranan serta di mana-mana sahaja kita berada. Sentiasa tindakan kita dipengaruhi dengan nafsu ammarah dan bisikan syaitan. Sehingga mengaburkan kebenaran di sebalik kebatilan yang dianggap satu kebiasaan.

Al Quran dan Sunnah dianggap asing.

Mengamalkannya mengundang ketakutan dan kerisauan. Sekadar pembacaan dianggap sebagai sudah beramal tetapi tidak dizahirkan melalui perbuatan dan tindakan.

Kenapa?

Kerana hati kita masih dipenuhi keraguan dengan janji-janji Allah akan hikmahNya dan terasa selamat dengan seksaan dan hukumanNya yg maha dahsyat.

Pandanglah dunia dengan adanya Allah di dalam dada. Maka itulah akhirat kita.

Selagi memandang dunia untuk mencari keredhaan manusia, selagi itulah diri sentiasa dibelenggu kerisauan, kebimbangan dan ketakutan kerana makhluk bersifat lemah dan rapuh.

Carilah tujuan hidup dan beramal untuk mencari keredhaan Allah berpandukan dua tinggalan Rasulullah SAW..tidak akan sesat..tidak akan takut.. kerana berpaut pada Yang Maha Kuasa dan Maha Kuat.

Siapa yang berpegang teguh seolah-olah menggenggam bara api yang panas. Kesakitan dirasai akibat tentangan dan rintangan. Dilepas hilang panasnya tapi hanyalah sementara.

Andai telah berpegang teguh dengan dua pusaka ini, peganglah sekuatnya bagaikan menggigit dengan geraham. Jangan mudah dilepaskan.

Israk dan Mikraj menceritakan ramainya wanita di dalam neraka. Rasulullah SAW juga membuka rahsianya, apa kelakuan penghuni wanita neraka telah lakukan sehingga mereka ditempatkan di seburuk-buruk pengakhiran.

Tapi tanpa sedar, masih lagi ramai wanita yang seolah-olah menghalalkan kelakuan penghuni neraka.

Mudah untuk wanita masuk ke syurga..tapi mahal harganya.

Tapi jangan lupa, mudah juga untuk ke neraka.

Sama-sama mengambil ibrah dan iktibar dari kisah Israk Mikraj ini sebagai peringatan. Wanita solehah dan sebenar-benarnya tauhid kepada Allah tersangatlah sedikit. Diibaratkan gagak putih.

Keimanan diuji adakalanya sehinggakan sanggup mengeluarkan kata kata yang menjatuhkan kufur tanpa sedar. 

Ayuh wanita.. cari lah ilmu akidah..kukuhkan tauhid dan keimanan. Letakkan cinta Allah yg terutama.. bukannya suami, bukannya harta dan emas permata.

Kukuhkan iman rukun yang enam.

Syukur..

Surah Al Haj ayat 7.. telah dinyatakan dengan jelas..

Bersyukur maka akan ditambahkan lagi nikmat.

Jika dengan yang sedikit pun sukar untuk bersyukur, apatah lagi dengan nikmat yang banyak..

Itulah dugaan dan fitnah akhir zaman. Sedikit sahaja golongan yang bersyukur.

Dan melahirkan kesyukuran itu tak pernah mudah jika belum redha dengan Allah sebagai Tuhan yang disembah..

Jika keyakinan kepada rezeki dan qada qadar yang ditentukan Allah masih samar dalam kegelapan.

Sekadar peringatan untuk hari kemudian.

Andai aku diuji sebegini..ingatkan aku untuk kembali..

Jangan dibiarkan aku sendiri..

Masuk syurga beramai-ramai..

Ke neraka jangan seorang.

#yogurtsedapaA

#perjalananmemahamialquran

#nevergiveupaA

Thursday 7 January 2021

Pengalaman Sebagai Orthopod 5 – Disapa IZRAIL

Kisah ini dah lama nak kongsi sebenarnya. Dan setiap detik dan peristiwa tentangnya masih segar dalam ingatan.

Terasa amatlah rugi jika tidak diceritakan kerana pengalaman ni tak semua pernah lalui..

Dah la intro tu yer..

Sebagai pegawai perubatan a.k.a doctor, berhadapan dengan kes melibatkan kematian dikira sebagai menjadi kebiasaan dan asam garam dalam merawat pesakit.

Permulaan kerjaya, berhadapan dengan kes kematian dianggap sangat menggerunkan.

Ada yang sampai kaku, apa perlu dibuat, apa nak terangkan dekat keluarga pesakit.

Kalau jenis hati lembut, boleh teringat-ingat sampai dalam tidur.

Kalau jenis ada daya penarik, hhmmm.. ada je kes yang sampai ikut ke rumah… oopppss..

Lama kelamaan mengendalikan kes sebegini, tidak dinafikan kami menjadi kalis, dan menganggap KEMATIAN sebagai perkara yang biasa.

Yaa..kami lupa, kami pun akan MATI juga satu hari. Itu lah.. bila dah sibuk sangat bekerja, persiapan akhirat pun tak sempat nak fikir. Cukup dengan solat lima waktu dan kerja..kerja dan kerja..

Tak terlintas pun nak cari maklis ilmu dan segala yang lain kan.

Baik..

Berbalik kepada tajuk atas tu.. DIsapa IZRAIL.

Seingatnya la..

Pada tahun 2012 (baru masuk tahun kedua sebagai MO Ortho), kami menerima kes seorang gadis berusia 15 tahun, kemalangan bersama dengan pasangannya berumur 16 tahun.

Si lelaki ada cedera tapi tiada patah. Manakala si gadis pula mengalami patah pada tulang betis kiri.

Dipendekkan cerita, urine pregnancy test si gadis ini positif. Dianggarkan dalam 2 bulan kot.

Kami teruskan rawatan betisnya dengan pembedahan debridement kerana patahnya berluka (open fracture) dan dipasangkan external fixator (macam antenna tv lama tu). Plannya nak letak interlocking nail (besi di dalam tulang tu..boleh google yer rupanya) tapi prosedur ni memerlukan penggunaan Image Intensifier (x-ray dan radiasi), maka ditangguhkan dahulu sehingga si gadis ni bersalin.

Dia dibenarkan discaj dari wad setelah 2 minggu. Alhamdulillah..si lelaki sanggup bertanggungjawab dan mereka bernikah tak lama selepas discaj dari wad. Tolong, jangan kecam adik ni yer. Setiap orang ada khilaf nya.. Sangka baik yer..

Cukup 9 bulan kandungan, adik ni melahirkan bayinya secara pembedahan caesarean. Tak ingat pula sebabnya kenapa. Selepas pembedahan, dia dimasukkan ke ICU, ada pulmonary embolism pulak. Teruk juga keadaan dia masa tu.

Aa yang melawat dia di ICU masa tu boleh ingat lagi la muka sayu dia. Adik ni kuat. Dia survive dan masuk wad biasa selepas beberapa hari.

Dugaan adik ni belum selesai..

Dia masuk ke wad semula untuk Acute Appendicitis. Pembedahan kecemasan dilakukan untuk dia tapi beberapa minggu selepas tu, dimasukkan lagi ke wad untuk intestinal obstruction (akibat parut dalam abdomen, menyebabkan saluran usus tersumbat).

Sekali lagi pembedahan dilakukan pada perutnya melalui laparotomy.

Setelah habis pantang, kami teruskan pembedahan Interlocking nail tibia dengan left iliac bone graft. Hmmm…patah yang dah 8 bulan lebih, memang tak mudah la masa tu. Walaupun masa tu aA dah kira hampir 3 tahun MO kan.

Struggle berjam-jam jugak di dewan bedah. Yes..without specialist..

Me and my colleague (MO perempuan jugak tapi masih baru).

Boleh kira dah berapa parut pembedahan adik ni?

Caesarean section

Appendicitis (right iliac fossa)

Laparotomy incision

Iliac crest

Tibia for ILN kat mid shin

Semasa di wad ortho, adik ni mengalami sesak nafas secara tiba-tiba.

Chest x-ray menunjukkan saiz jantungnya terlalu besar (cardiomegaly). Hairan kami.

Sejak bila?

Echocardiography dibuat dan menunjukkan fungsi jantung yang sangat lemah, dilated cardiomyopathy. Allahu masa ni terus terfikir, apakah nasib adik ni.

Selepas satu..satu dugaan dia dapat di usia muda begini.

Kami stabilkan dia dalam wad ortho masa tu. Dari katil yang agak jauh dari kaunter jururawat, kami pindahkan ke katil paling hadapan.

Pada suatu malam, semasa oncall, aA attend kes di wad lelaki.

Buat CPR untuk seorang pesakit. Kami tak dapat selamatkan pesakit lelaki tu. Malaikat Izrail menjalankan tugasnya pada malam tu.

Selesai isi borang mortuary, dapat panggilan dari wad perempuan mengatakan adik perempuan ni mengadu tak selesa badan dan sakit-sakit pada jari kaki.

Agak kepenatan dan masa tu, tapi sebab dah mengasuh adik ni hampir setahun dah, gagahkan juga badan ni jumpa dia.

“Kenapa dik, sakit kat mana?”

“Entah la doctor, dari tadi dia duk mengadu ibu jari kaki dia sakit, dua-dua belah pulak tu. Saya belek-belek, tak Nampak apa pun..” Ibu adik ni jelaskan.

Si adik ni menjerit-jerit, menangis minta tolong “Doktor, tolong la saya, sakit sangat jari kaki saya tu. Pedih sangat doctor…sakiiittt”

aA periksa kaki adik ni. Memang tak nampak apa-apa yang abnormal pun kecuali..

SEJUK di HUJUNG JARI..sangat sejuk

Sedangkan pulse ada lagi, dan atas kaki masih hangat.

Dalam hati, mungkin kipas kuat sangat kot..

aA yakinkan adik ni, cuba tenangkan dia, tak ada apa-apa yang pelik kat kaki dia tu.

Dalam nak legakan penat tu, aA duduk kejap kat kaunter jururawat, termenung, sambil lihat adik tu.

Ibu adik ni datang “Doktor, anak saya kata kaki dia makin sakit..”

Terus ke katil adik ni.. aA jamah kaki dia.

Yer..dari hujung jari kaki, sekarang dah naik sampai ke paras lutut. SEJUK TU..

(meremang bulu roma menaip ni pada jam 12 malam ni)

Si adik ni terus menangis, menangis, meraung menahan kesakitan yang jelas kat muka dia.

Hanya dalam beberapa minit, SEJUK tu dah sampai ke bahagian perut dia, di kawasan pusat.

Masa tu, memang aA menggigil, terus pandang pada Ibu dia..

“makcik, saya nak bercakap sebentar..”

Kami keluar sekejap dari kawasan langsir pesakit.

“Makcik, anak makcik dah nak pergi. Izrail ada kat sebelah dia je. Saya tak nampak tapi saya dapat rasakan yang kemungkinan nyawa dia sedang ditarik perlahan. Ajarkan anak mengucap yer Makcik..”

Ibu adik ni kuat, dia tahan diri dari menangis, diusap lembut kepala anak dia. Diajarkan mengucap.

Badan si adik saya sentuh perlahan, merasakan SEJUK tu dari hujung kaki sehingga ke paras dada.

Beza kehangatan tubuh tu sangat jelas berbanding tangan dan bahagian mukanya.

Allah..Allah..Allah..

Betapa dekatnya Malaikat Izrail dengan kami waktu itu. Seolah-olah melihat dia sedang menarik nyawa adik ni di depan mata, perlahan-lahan.

Hati dah sebak ketika ni. Tak mampu nak kuat di depan adik ni.

Sebelum beredar, aA pegang pipi adik ni dan terus beredar dari katil tu.

Ke mana?

Bawah meja kaunter jururawat.

aA duduk bawah meja. Duduk dengan kedua-dua lutut dirapatkan ke dada, muka ditekup dan tangan berpaut pada betis..

aA menangis di bawah tu, tak tahan perasaan ni.. antara sedih, sayu, sebak, takut dan pelbagai lagi bermain dalam kepala.

Adik tu meninggal dunia tak lama selepas tu. Jenazah dia, ya..aA ada tolong juga jururawat siapkan.

Satu malam, dua kali ‘berhadapan’ pencabut keseronokan dunia. IZRAIL

Kisah ni memang sampai bila-bila pun akan diingat.

Sebagai peringatan bahawa mati itu tidak mengira usia

Kesakitan mati tu tidak terjangkau akal manusia.

Dan sebanyak mana telah kita siapkan bekal untuk menghadapi hidup selepas kematian.

Dan untuk kami-kami, yang bekerja di hospital, pengalaman begini sememangnya menjadi jentikan kesedaran buat kami yang kadang hanyut dibuai kesibukan dan keBIASAan menguruskan kes kematian di hospital sedangkan syarat MATI adalah HIDUP.

Dan kita semua masih HIDUP.

Cukup syarat tak?

Cukup kan..

Semoga dengan kisah ni, kita le5bih berhati-hati melalui kehidupan kita, niatkan untuk mencari keredhaan Allah.

Sangka baik dengan adik ni. Walaupun kisah silam dan kesilapan dia tak dapat diterima masyarakat, namun pengakhirannya ke mana, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Mari kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah untuk dia.

Sekian untuk kali ni.

Tuesday 5 January 2021

2021 - Celebrating Two Years as Orthopaedic Surgeon

 Assalamu'alaikum wbt

Salam sejahtera buat diri sendiri dan sahabat-sahabat pembaca senyap (ada ke ni??...)

Setelah sekian lama tak menulis dalam ni.. hajat sentiasa ada tetapi sering tertangguh dan sekadar menjadi impian dalam harapan.

Terlalu banyak yang menjadi draf tetapi tersimpan rapi di dalam kepala je ni..

Yaa.. 2 hari lagi cukup lah saya berkhidmat sebagai pakar bedah ortopedik selama 2 tahun..

Itu boleh dijadikan sebagai alasan kenapa tidak menulis sekian lama? Maybe..

Alhamdulillah.. sejak penulisan terakhir pada tahun 2018, kesibukan masa untuk belajar dan pada masa yang sama bekerja, agak tak terasa dengan masa yang dah berlalu dengan cepat..

sedar je, dah 2 tahun sebagai pakar.

anyway..

konsisten dan istiqamah dalam melakukan sesuatu amatlah susah untuk dicapai.. seperti kata ahli sufi, istiqamah adalah sebesar-besar karamah.

Saya akan cuba untuk menulis lagi di masa hadapan untuk memberi dan berkongsi pengalaman sebagai pegawai perubatan terutama dalam bidang ortopedik dan sedikit sebanyak peringatan hidup dari insan yang banyak khilaf ini.

Bermula dengan hidup sebagai pelajar MMed (master in orthopaedic-postgraduate) sehinggalah sekarang, secara berkala.

Lain zaman, lain cabaran,, namun haruslah setiap satunya menjadikan kita lebih kuat, dan tabah menghadapi ujian dan rintangan untuk memperbaiki nilai insan, dalam usaha menjadikan diri kita bermanfaat untuk orang lain.

Bukankah sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat dan memudahkan urusan orang lain.

in shaa Allah.

2021- tahun ke 11 bekerja, di 8 buah hospital di seluruh Malaysia.

dan senarai ini akan semakin bertambah.. agak-agaknya mungkin 4-5 buah hospital lagi.

Nomad.

Macam syok sendiri je menaip ni..

Well..inilah apa yang terlintas, untuk dibaca dikemudian hari, sebagai pembekal semangat dan inspirasi.

Doakan saya untuk terus diberi kemampuan dan kesempatan menulis.

Sekian untuk hari ini..


**ada menulis, tapi dalam jurnal hard copy..