Friday, 26 November 2021

Tazkirah Subuh : Peringatan dari Al Quran 📖 :Pohonlah Hidayah

Salam Jumaat
21 Rabi'ul Akhir 1443H
26 Nov 2021M


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتهُ
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم

Pohonlah hidayah sebagai hadiahmu ketika menyusuri Jalan menuju Allah. InShaAllah, kita akan kuat di jalan mujahadah...

اِنَّكَ لَا تَهْدِيْ مَنْ  اَحْبَبْتَ وَلٰـكِنَّ اللّٰهَ يَهْدِيْ مَنْ يَّشَآءُ  ؕ  وَهُوَ اَعْلَمُ  بِالْمُهْتَدِيْنَ

"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)."
(Al-Qasas: 56)

Berdasarkan ayat tersebut, diingatkan 3 perkara iaitu, manusia tidak mempunyai daya memberi petunjuk (kebenaran) hidayah pada manusia lain walaupun mereka adalah orang-orang yang kita sayangi. Allah sahaja yang berkuasa memberi petunjuk (kebenaran) hidayah pada manusia yang Dia inginkan tidak kira rupa, umur, kaum dan sebagainya serta Allah sahajalah yang Maha Mengetahui setiap hamba yang berusaha (terbuka hati) mencari hidayah Allah.

Benar, hidayah itu milik Allah. Dan Allah pemegang setiap hati, namun kita disuruh berusaha untuk mencapai apa yang kita mahu. Oleh kerana pentingnya hidayah dalam kehidupan, Allah sendiri mengajar manusia agar meminta hidayah kepadaNya. Bukan sekali tapi 17 kali dalam setiap rakaat dalam solat 5 waktu. Kita diwajibkan memintanya. Jika tidak, solat tidak sah. Ertinya, kita diwajibkan memohon hidayah. Apa jawapan Allah terhadap permintaan kita setiap hari itu. Apakah Allah telah memberikan kita hidayah sepertimana yang kita pohon sebagaimana mereka yang solat ataupun permintaan kita itu masih belum diperkenan.

Berdoalah, mohonlah kepada Allah.
"Ya Allah, aku memohon kepadaMu curahan rahmat dari sisiMu yang dengannya hatiku mendapat petunjuk, terkumpul segala yang bercerai-berai dan terhimpun segala yang terpisah-pisah, tertolak segala fitnah atas diriku dan bertambah baik urusan agamaku, terpelihara segala sesuatu yang jauh dariku dan terangkat apa yang dekat denganku, disucikan perbuatanku dan dicerahkan wajahku diberi ilham menuju petunjuk dan terpelihara diriku dari segala sesuatu yang buruk".
(Hadith Riwayat Imam Thabrani dan Ibnu Abbas)

Berusaha mencari hidayah Allah tidak susah, ramai yang mempersoalkan bagaimana mahu mencari sedang hati belum terbuka. Hati belum terbuka adalah kerana sisa-sisa dosa semalam. Hati memerlukan tenaga untuk sentiasa bergerak melakukan kebaikan dan mencintai apa yang Allah cintai. Makanannya mudah sahaja, amal kebaikan. Segala amal-amal kebaikan adalah penjana dan penggerak hati untuk terus melakukan kebaikan yang lain, asal ia dilakukan kerana Allah bukan untuk mendapat penghargaan manusia.

... اِنَّ اللّٰهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتّٰى يُغَيِّرُوْا مَا  بِاَنْفُسِهِمْ  ؕ  وَاِذَاۤ اَرَادَ اللّٰهُ بِقَوْمٍ سُوْۤءًا فَلَا مَرَدَّ لَهٗ ۚ  وَمَا لَهُمْ  مِّنْ دُوْنِهٖ مِنْ وَّالٍ

"... Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya."
(Ar-Ra'd: 11)

Jadi mulai hari ini bersihkanlah hati daripada dosa semalam, daripada berburuk sangka, khianat, dengki, kerana hati yang bersih mudah menerima tarbiyyah illahi (dengan izinNya) dan sentiasalah berbaik sangka pada Allah. Tidak Allah tetapkan sesuatu dengan sia-sia. Semuanya bersebab dan pengakhirannya adalah sesuatu kebaikan sebagaimana firman Allah:

وَلَـلْاٰخِرَةُ خَيْرٌ لَّكَ مِنَ الْاُوْلٰى {٤}
وَلَسَوْفَ يُعْطِيْكَ رَبُّكَ  فَتَرْضٰى {٥} 
 
"Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya."(4)
"Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda - berpuas hati."(5)
(Ad-Dhuha: 4-5)

Berusaha tidak sesusah jalan untuk beristiqamah, dan saat inilah akan berlaku pelbagai ujian Allah buat hambaNya, kerana nikmat syurga Allah itu luar biasa. Tugas kita untuk berusaha melakukan kebaikan sehingga akhir nyawa, dan berdoa agar Allah memberi rahmatNya untuk kita masuk ke syurgaNya.

.....ِ وَلَا تَايْـئَسُوْا  مِنْ رَّوْحِ اللّٰهِ  ؕ  اِنَّهٗ لَا يَايْـئَسُ مِنْ رَّوْحِ اللّٰهِ اِلَّا الْقَوْمُ  الْكٰفِرُوْنَ 

"... dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir"."
(Yusuf: 87)

Nabi SAW bersabda yang ertinya:
“Berbahagialah orang yang diberi hidayah kepada Islam, manakala kehidupannya pula sentiasa mencukupi dan berpada”.
(Hadith Riwayat At-Tirmidzi dan Ahmad)

Semoga pintu hidayah sentiasa terbuka luas buat kita dan Allah tidak menariknya semula.

Justeru, berdoalah agar Allah menganugerahi hidayahNya.......

No comments: