Showing posts with label Petikan Suratkhabar. Show all posts
Showing posts with label Petikan Suratkhabar. Show all posts

Wednesday, 30 July 2008

Fahami Bacaan Solat..Utusan Malaysia

Fahami bacaan solat (14 Julai 2008) Ruang Agama


SOALAN: Dalam kepala saya ini selalu terfikir, lebih-lebih lagi ketika sedang baring, sebelum melelapkan mata pada waktu malam, kenapa kemungkaran dan kejahatan terus menerus berlaku pada hal Allah SWT menegaskan: “Sesungguhnya sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.”



Saya rasa begitu ngeri, tidak yakin dan sering tertanya-tanya mengenai kes-kes pembunuhan, persundalan, rompak, rogol penyalahgunaan kuasa, tidak amanah dan sebagainya. Yang terkini ialah fitnah memfitnah, tuduh menuduh seperti yang sedang berlaku. Hilang rasa persaudaraan dan kasih sayang membuktikan roh insaniah itu terpinggir.



Syiar-syair Rukun Iman itu seumpama tidak wujud dan hanya tinggal teori semata-mata yang tidak dapat dilaksanakan. Saya rasa, tidak ada jalan untuk mengatasi masalah ini selain kembali kepada ajaran agama. – Teruna Malam, Ijok





Jawapan: Saya yakin, apa yang saudara rasakan itu dapat dirasai oleh mereka yang dapat berfikir, meneliti fenomena sekeliling sekarang, biarpun ia tidak semestinya terlintas di pemikiran sebelum memejamkan mata untuk menyambung hidup keesokan hari.



Adalah jelas Allah SWT berfirman: “Sembahyang yang dilakukan oleh seseorang hamba itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.”



Dalam sebuah hadis, dijelaskan sesungguhnya sembahyang itu penghapus dosa di antara dua sembahyang, selagi hamba berkenaan, iaitu hamba yang melakukan sembahyang itu tidak melakukan dosa-dosa besar. Contohnya, apabila seseorang itu melakukan sembahyang subuh, maka sembahyang yang dilakukan itu menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan sebelum subuh. Kerana itu orang yang berkenaan berada dalam keadaan tidak berdosa sehinggalah ia melakukan sembahyang zuhur. Begitulah seterusnya, sehari semalam hingga ke subuh berikutnya.



Semua dosanya terhapus, kecuali sekiranya orang berkenaan melakukan dosa besar, seperti syirik, melakukan sihir, zina, pembunuh yang diharamkan, makan harta anak yatim dan lain-lainnya. Kerana itulah, orang yang terus menerus sembahyang itu diibaratkan seperti orang yang tinggal berhampiran sungai, yang ia mandi lima kali sehari, tidak akan lekat daki pada badannya.



Terlalu banyak kemungkaran menimbulkan rasa gerun dan ngeri, rasa tidak menentu. Keadaan semakin gawat dari hari ke hari. Pembunuhan berlaku seperti yang dipaparkan, diletupkan dengan bom, berbunuhan sesama Islam. Rogol menjadi-jadi, pelacuran, buang anak, ugut mengugut, fitnah memfitnah dan sebagainya. Kesemuanya memperlihatkan mereka yang terlibat hanya tahu adanya balasan hari Kiamat seperti yang terkandung dalam Rukun Iman, tetapi tidak percaya hakikat akan berlaku ketika hisab di Padang Mahsyar.



Pemahaman Tauhid hanya pengetahuan yang termaktub, lalu diluahkan melalui tulisan dan lulus dalam peperiksaan. Namun hakikatnya tidak difahami atau dituruti lalu akhirnya pemahaman itu hanya tinggal teori yang tidak berupaya untuk dipraktikkan. Hukum-hukum Allah itu jelas. Setiap orang Islam wajib percaya terhadap firman Allah, yang diwahyukan melalui malaikat Jibril, disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW, dicatat lalu akhirnya dibukukan menjadi mashaf, yang dikenali sebagai al-Quran. Setiap orang wajib mempercayainya.



Barang siapa menidakkan, atau menafikannya, maka ia termasuk dalam golongan yang kufur. Allah SWT Maha Mengetahui, berkuasa dan tidak pernah memungkiri janji-janji-Nya. Kalamullah itu sentiasa benar. Apabila ia berfirman menyatakan sembahyang itu mencegah pelakunya atau orang yang mengamalkannya, maka sembahyang itu akan menjadi penghalang atau membentuk sahsiah seseorang itu daripada melibatkan diri dengan kejahatan dan kemungkaran yang menyebabkan saudara terfikir, termenung panjang sebelum melelapkan mata.



Kemungkaran dan kejahatan berlaku bukan kerana firman Allah itu salah atau silap. Yang silap ialah manusia. Merujuk kepada fenomena yang berlaku, manusia itu terbahagi:



Pertama, ada umat Islam yang tidak pernah sembahyang. Sembahyang itu tiang agama. Barang siapa melakukannya, dia mendirikan agama dan barang siapa meninggalkannya, dia telah merobohkan tiang agama. Kerana itu, tidak peliklah mereka ini terdiri daripada orang yang terlibat dengan kemungkaran, kerana mereka tidak sembahyang. Banyak punca kenapa ia berlaku. Yang jelas, padahnya ialah berlaku kemungkaran dan kejahatan.



Golongan kedua ialah mereka yang sembahyang tetapi tidak cukup, daripada lima waktu, mungkin dilakukan satu waktu. Allah SWT lebih mengetahui dan kita dapat memikirnya kenapa sembahyang diwajibkan lima waktu. Sahsiah Ia berupaya membentuk sahsiah seseorang untuk menjadi manusia yang baik, warak, zuhud lagi bertakwa. Bagaimana hendak menjadi manusia yang baik kalau sembahyang ikut mood? Sembahyang bila hendak sembahyang. Di rumah, takut ibu dan ayah, tetapi di asrama, bersama kawan-kawan langsung tidak sembahyang. Hal demikian berlaku kerana roh sembahyang itu tidak wujud dalam diri. Tidak mendapat maklumat kenapa sembahyang itu wajib dilakukan selengkapnya.



Golongan ketiga ialah mereka yang sembahyang, tidak sempurna ilmu sembahyangnya menyebabkan sembahyang itu tidak sah. Termasuk dalam golongan ini ialah mereka yang sembahyang melakukan perbuatan membatalkan sembahyang. Selain itu, mereka tidak menyedari sembahyang yang dilakukan itu tidak sah. Contohnya bacaan al-Fatihah yang tidak betul. Kerana tidak menyebut adanya sabdu (tasydid) ketika membaca kalimah-kalimah yang wajib dibaca ketika membaca al-Fatihah. Tidak ada tamakninah ketika rukun fi’liy, iaitu ketika rukuk, iktidal, sujud dan duduk di antara dua sujud. Apabila ini terjadi, maka tidak sahlah sembahyang itu.



Kalau seseorang itu berumur 60 tahun, maka selama itulah, iaitu selepas ia baligh, yang diistilahkan sebagai mukallaf, melakukan sembahyang tidak sah. Bagaimanakah hamba seperti ini mahukan sembahyang yang dilakukan itu membentuk diri yang baik, pada hal sembahyangnya tidak sah, atau sekali sah sekali tidak sah? Dalam masa yang sama, sembahyangnya juga tidak cukup lima waktu sehari semalam. Terlalu banyak faktor menyebabkan sembahyang seseorang itu tidak sah, yang boleh dirujuk dari kitab-kitab fikah.



Golongan keempat ialah mereka yang sah sembayangnya, tetapi sembahyang yang dilakukan tidak diterima Allah. Apabila seseorang itu sembahyang cukup dengan syarat wajibnya, juga rukun- rukun yang wajib dilakukan maka sahlah sembahyang itu. Perlu difahami di antara sah sembahyang dan diterima sembahyang yang dilakukan oleh Allah adalah dua perkara yang berlainan. Sama juga dengan orang melakukan ibadat haji. Apabila seseorang itu dapat menyempurnakan segala rukun dan syarat, maka sahlah haji yang dilakukan.



Tetapi, sekiranya wang yang digunakan untuk menunaikan haji itu daripada wang haram, sogokan, hasil penyalahgunaan kuasa, maka haji yang dilakukan tidak diterima Allah. Lalu akhirnya haji atau ibadah yang dilakukan itu tidak berupaya membentuk, menjadi pelakunya manusia baik. Balik dari mengerjakan haji, sifat lama, yang jahat terus menerus dilakukan. Dari sinilah lahirnya individu tertentu yang takut menunaikan haji atau umrah kerana tidak yakin akan menjadi manusia baik selepas balik dari Mekah.



Tidak ada kesan ibadah yang dilakukan, merasa berpura-pura dan tidak yakin pada diri atau kerana takut sesuatu yang buruk berlaku ketika berada di Mekah. Sembahyang sah, tetapi tidak diterima Allah boleh berlaku apabila seseorang itu sembahyang dalam keadaan tidak khusyuk, yang diistilahkan sebagai was- was. Rasa was-was itu lahir akibat daripada was-was syaitan. Hal demikian boleh berlaku ketika berniat. Ketika membaca al-Fatihah, terutamanya semasa membaca kalimah yang ada huruf-huruf kesamaran.



Pelbagai lintasan masuk dalam kepala ketika sembahyang, iaitu ketika sembahyang berjemaah, lebih-lebih lagi ketika imam membaca surah yang panjang. Pelbagai ingatan menyelinap dalam kepala seperti ketika berada di pejabat, cerita di kampung, masalah kewangan, masalah isteri sakit dan lain-lain lagi. Pandangan mata pula tertumpu pada cicak yang sedang meniti tiang atau lipas yang melintas di celah-celah kaki, juga gambar-gambar di karpet atau tulisan pada baju makmum di hadapan mata.



Kadang-kadang seseorang itu terasa terkentut ketika sujud atau terasa keluar air kencing ketika berdiri. Segala-galanya ini boleh berlaku menyebabkan seseorang itu hilang rasa khusyuk. Seorang hamba itu berupaya memikiri satu perkara dalam satu masa. Apabila orang yang sedang sembahyang itu memikir hal-hal di luar sembahyang seperti yang dijelaskan, mengimbau perkara-perkara yang telah berlaku di pejabat, masalah anak, mengulang kalimah dalam bacaan al-Fatihah maka konsentrasinya terhadap sembahyang akan hilang, atau sebahagian besar daripadanya hilang, kerana ketika itu ingatannya atau konsentrasinya diimbau pada perkara yang ada di luar sembahyang. Ketika itu rasa khusyuk tidak wujud.



Sembahyang seperti inilah yang tidak diterima Allah. Apabila ini berlaku, maka sembahyang itu tidak memberi kesan pada keperibadian orang yang berkenaan, menyebabkan orang yang seumpama ini sembahyang, tetapi lepas sembahyang melakukan perbuatan mungkar dan kejahatan.



Sebahagian besar masyarakat Malaysia melakukan sembahyang tanpa memahami makna kalimah yang dibaca, termasuklah makna al-Fatihah, doa ketika rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, ketika tasyahud awal juga tasyahud akhir. Begitu juga dengan bacaan qunut ketika sembahyang subuh. Memahami makna bacaan yang dibaca ketika sembahyang seperti yang dijelaskan tidak termasuk dalam rukun sembahyang. Walaupun demikian, untuk memperoleh kesan yang maksimum, perlulah memahami bacaan itu. Memohon Seseorang yang sedang membaca al-Fatihah, ialah orang yang sedang berdoa, memohon kepada Allah, agar ditunjukkan jalan yang benar lagi lurus, iaitu jalan-jalan yang telah Allah berikan kepada mereka yang terdahulu, kepada nabi-nabi, rasul-rasul, sahabat, tabiin, para salihin yang mempunyai sifat warak, zuhud dan takwa.



Bukan jalan mereka yang dimurkai Allah, firaun, kaum Lut dan sebagainya, yang kisahnya tercatat jelas dalam al-Quran, juga bukan jalan mereka yang sesat, yang banyak menimbulkan masalah masyarakat seperti yang saudara luahkan. Mereka memohon kepada Allah. Bukan jalan yang dilalui oleh mereka yang sesat, yang dimurkai Allah.



Orang yang waras dan dapat berfikir, hasil daripada roh insaniah yang dianugerah Allah berfirman bagaimanakah seseorang itu boleh memfitnah, menipu, membunuh, biar dengan apa cara sekalipun, pada hal sehari semalam, setiap lima waktu memohon diberi petunjuk jalan yang lurus atau ketika hening malam melakukan sembahyang tasbih, sembahyang taubat, tahajud, witir dan sebagainya. Segala kemungkaran ini tidak akan berlaku sekiranya seseorang itu memahami dan menyedari apa yang dibaca ketika sembahyang, menginsafkan dan mengambil iktibar daripada kalimah- kalimah yang dituturkan.



Walaupun, semuanya akan menjadi amalan seperti amalan burung kakak tua, boleh berkata-kata, tetapi tidak memahami maknanya, lalu akhirnya kemungkaran itu akan terus menerus berlaku, kerana sebab-sebab yang dijelaskan.

Friday, 25 April 2008

Petikan Suratkhabar...






Jangan melampau jika bertelingkah, itu dibenci Allah




Oleh Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin




Apabila saya membaca ucapan Rasulullah s.a.w: “Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim), saya merenung panjang ke dalam kehidupan ini.
Cuba memuhasabah diri sendiri dan melihat kepada perjalanan masyarakat Islam. Dalam hadis ini Nabi s.a.w memberitahu, Allah teramat benci manusia yang apabila berbalah, dia melampaui batas. Menolak apa yang benar hanya ingin menegakkan hujah yang dia sendiri tahu telah tersasar dari kebenaran.
Berkeras kepala dengan hujah sendiri lalu berusaha menegakkan benang yang basah. Allah amat benci orang seperti ini. Inilah juga tabiat munafik yang disifat oleh al-Quran: (maksudnya) “Dan di antara manusia ada mengagumkan engkau tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, dan dia bersaksikan Allah (bersumpah dengan mengatakan bahawa Allah), padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu Muhammad). (Surah al-Baqarah: 204). Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w menyebut ciri manusia munafik itu empat, salah satunya: “Apabila dia berbalah, dia jahat”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maksudnya untuk menang dalam perbalahan seorang munafik tidak kira apa caranya.




Dia sanggup menyelewengkan fakta, menipu hakikat, mengelirukan orang ramai, menghalalkan cara dan apa sahaja watak sekalipun jahat akan digunakan dalam memenangkan diri. Inilah seorang munafik. Inilah orang jahat. Inilah orang yang amat dibenci oleh Allah.
Kehidupan memerlukan keinsafan. Bukan semua perselisihan kemenangan mesti berpihak kepada kita. Kemenangan hakiki itu berpihak kepada yang benar. Kebenaran itu pula tertakluk kepada fakta yang benar. Sebab itulah, insan-insan agung seperti Abu Bakar dan Umar memberikan ucapan yang hampir sama menyebut: “Jika aku benar, bantulah aku. Jika aku menyeleweng, betulkanlah aku”. Membetulkan semestinya dengan alasan yang benar, bukan fitnah dan pembohongan. Namun apabila insan tidak insaf dia menolak kebenaran kerana ingin menjaga statusnya, sekalipun ternyata pendapatnya salah.
Lalu kita dengar manusia bongkak berbicara: “awak siapa hendak pertikaikan pendapat saya, saya ini ustaz” atau “...saya ini tok guru”, “...saya ini menteri”. Lalu insan-insan bongkak ini memejamkan mata dan memekakkan telinga dari mendengar pendapat atau alasan orang lain, hanya kerana keegoan. Inilah manusia yang berkeras kepala apabila berbalah. Kadang-kala bagi yang berkedudukan, ada pula pengampu-pengampu yang mempertahankan pendapat mereka yang salah.




Dalam kehidupan kekeluargaan pun, sikap seperti ini ada. Suami atau isteri apabila berselisih, enggan tunduk kepada kebenaran. Berkeras kepala sehingga ada yang menyebut: “engkau sesen pun tidak berguna untuk aku”. Padahal sudah berapa banyak faedah kehidupan yang sudah dikecapi antara satu sama lain.
Demikian juga suami isteri yang bercerai. Entah berapa tahun mereka ‘tidur’ sekali, tiba-tiba apabila bercerai mereka bagaikan musuh yang berperang untuk mempertahankan agama. Segala-galanya ditafsirkan dengan penuh keburukan. Padahal bukan tidak ada hari-
hari manis antara mereka. Kalaupun berbalah, janganlah memutuskan nilai-nilai persaudaraan dalam agama.




Orang yang pandai bercakap antaranya peguam. Jika mereka ini tidak beretika, mereka akan menjadi manusia yang paling dibenci Allah. Ini kerana mereka akan melampau dalam perbalahan, sehingga yang mereka tahu salah pun akan dipertahankan kerana itu anak guam mereka.
Jika demikian, maka insan lain akan dizalimi dengan sebab kepetahan atau penguasaan mereka dalam memusingkan hakikat undang-undang. Proses penghakiman tentulah akan berdasarkan penghujahan. Bagi yang gagal mendapatkan peguam yang baik – sekalipun dia benar – maka dia menjadi mangsa. Justeru Nabi s.a.w bersabda: Kamu mengangkat perbalahan kamu kepadaku. Boleh jadi sesetengah kamu lebih petah hujahnya daripada yang lain. Lalu aku berikan untuknya berdasarkan apa yang aku dengar.




Sesiapa yang aku berikan sesuatu hak saudaranya janganlah dia ambil, kerana sesungguhnya aku memotong untuknya potongan api neraka (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Janganlah dalam keghairahan menghasilkan wang, seorang peguam muslim menjadikan kemampuannya dalam berhujah – sekalipun batil – untuk mempetahankan kebatilan. Saya kadang-kadang bergurau dengan rakan-rakan peguam: “Jika anda tidak beretika, rezeki anda dan rezeki seorang perompak tidak banyak bezanya di sisi Tuhan”.
Demikian juga dalam politik. Dalam mengejar kerusi atau mempertahankannya, tidak dipedulikan batasan halal dan haram. Perbalahan politik seakan berada di luar sempadan agama. Apa diharamkan agama seperti perbuatan fitnah, maki-hamun, mencemarkan maruah orang lain dan pelbagai lagi dilanggar. Kata mereka: “ini politik”. Kerana kerusi, bukan sahaja yang berlainan parti, sesama parti pun berperang.
Kegilaan merebut kerusi membuatkan banyak pihak hilang akal dan keras kepala. Lupa nilai-nilai persaudaraan Islam. Barangkali kerana hal yang seperti inilah, seorang tokoh Turki, Said Nursi menyebut: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik”. Saya pula berkata: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik ala jahiliah”. Sebab, Nabi s.a.w juga berpolitik tetapi untuk kemaslahatan umat, bukan kepentingan diri.




Malangnya kadangkala yang ingin berpolitik atas nama agama pun berperangai jahiliah. Saya begitu pelik apabila seorang penceramah politik berceramah tentang melaksanakan hukuman zina yang diwajibkan al-Quran iaitu 100 sebatan. Pada masa yang sama dalam ceramahnya dia menuduh ‘si polan’ dan ‘si polan’ musuh-musuh politiknya berzina. Dia lupa, atau sengaja buat-buat lupa, al-Quran bukan sahaja menyuruh agar dihukum orang yang berzina, bahkan menyuruh untuk dihukum penuduh orang lain melakukan zina tanpa empat saksi yang adil dengan 80 sebatan seperti disebut dalam ayat 4 Surah al-Nur. Itulah politik ala jahiliyah, apabila berbalah mereka berlebih- lebihan. Sehingga soal rumah tangga, rupa paras dan berbagai-bagai lagi yang pada asal tidak diheret ke gelanggang politik, turut dibelasah. Fitnah, surat layang, penyalahgunaan harta kerajaan, caci maki dan segala keburukan yang lain seakan perang antara agama.
Dalam Islam, jika berperang kerana agama pun tidak dibenar melampaui batas seperti firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 190: (maksudnya) “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas”. Namun orang politik yang berperang untuk kerusi melampaui batas.




Perselisihan




Lebih pelik lagi di kalangan golongan agama, ada yang melampaui batas dalam perselisihan pendapat mengenai Islam. Sehingga sanggup mengkafirkan orang lain yang berbeza dengan aliran mereka seperti Khawarij dan Ahbash. Ada yang sanggup mengada-adakan hadis-hadis palsu demi mempertahankan pegangan mazhab seperti Syiah. Ada yang sanggup mengetepikan hadis-hadis hanya kerana taksub kepada mazhab yang dipegang. Tokoh ilmuwan besar Islam, al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) ketika menceritakan sikap golongan taksub secara ‘mengkhinzir buta’ sesuatu mazhab, menyebut: “Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid! Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya.
Teras kamu dalam perkara berkenaan ialah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut. Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat pelbagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunah.




Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata “kami ada sabda Nabi s.a.w. begini dan begitu”. Jika kamu dapati 100 atau lebih hadis sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit...”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi‘in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr). Inilah sikap melampau dalam berbeza pendapat.




Di Lebanon lahirnya puak yang dinamakan Ahbash. Pengasasnya seorang habsyi bernama Abdullah al-Harari. Beliau dikenali juga dengan al-Fattan, maksudnya penyebar fitnah. Beliau mendakwa berpegang kepada akidah asy‘ari, bermazhab syafii, serta bertarikat.
Beliau membentuk satu mazhab yang ekstrem sehingga mengkafir dan menghalalkan darah sesiapa yang tidak sama dengan kefahaman-kefahaman yang beliau anjurkan. Beliau mengkafirkan Ibnu Taimiyyah, Ibn Qayyim, Dr. Yusuf al-Qaradawi, Mutawalli Sya‘rawi, Dr. Ramadhan al-Buti, Muhammad bin Abdul Wahhab, Syed Qutb dan berbagai lagi. Juga mengkafirkan majoriti umat Islam khususnya Arab Saudi. Berlaku huru-hara di Lebanon disebabkan sikap suka berbalah mazhab Ahbash ini sehingga mereka dikaitkan dengan pembunuhan bekas Presiden Rafiq Hariri. Di Australia, 36 persatuan Islam membantah sikap ekstrem mereka yang menimbulkan perbalahan di kalangan umat Islam.
Asas golongan Ahbash ini adalah berbalah berhubung dengan ayat-ayat sifat Allah dan berbalah sesiapa yang enggan terikat dengan satu mazhab dan pelbagai kekarutan lain. Para ulama di peringkat antarabangsa telah menyenaraikan mereka ini dalam ajaran sesat. Itulah yang diputuskan oleh Mufti Mesir, Arab Saudi, Australis, Dr. Yusuf al-
Qaradawi, Dr. Wahbah al-Zuhaili, Dr. Ahmad Shalabi dan lain-lain. Malangnya, mereka mula bergerak dan menyebarkan fahaman di negara kita melalui bekas-bekas penuntut kita di sana dan buku-buku yang diedarkan.




Apa yang ingin saya sebutkan, dalam keghairahan sesetengah pihak di negara kita menentang kebangkitan pemikiran pembaharuan ke arah Islam yang lebih terbuka, rasional dan dinamik, mereka menggunakan puak Ahbash ini untuk berceramah. Jika di negara arab mereka mengkafirkan Dr. Yusuf al-Qaradawi dan tokoh-tokoh ulama lain, di Malaysia anak-anak buah Ahbash ini mengkafirkan insan biasa seperti saya dan sesiapa yang mereka pilih. Fitnah menjadi teras utama mereka. Atas alasan terlalu terbuka menerima keluasan pandangan, saya dikafirkan.
Saya katakan kepada ustaz-ustaz ini, negara ini adalah aman. Pendekatan apabila berbalah mengkafirkan orang adalah melampaui batas yang akhirnya akan membawa kekacauan dan keadaan menakutkan.




Tidak lama dahulu, kerana perbalahan politik kafir-mengkafir berlaku dalam negara kita. Pulau-memulau antara sesama Islam, solat dua imam, memutuskan silaturahim antara keluarga, mengharamkan sembelihan dan ucapan-ucapan yang seakan menghalal darah sesama kita. Hanya disebabkan perbezaan parti. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah orang awam.
Mereka tidak tahu menilai, lalu mereka bertindak dengan tindakan yang disangkakan arahan Allah dan Rasul-Nya, padahal ia hanya kempen politik. Kafir itu pun hanya ‘kafir politik’ bukan ‘kafir hakiki’. Menjatuhkan hukuman kafir kepada sesuatu individu bukan semudah mengupas kacang tanah. Ada kaedah dan prinsipnya. Perbuatan mengkafir sesama muslim secara ‘borong’ adalah kejahatan atas nama agama.




Walaupun keadaan itu sudah hampir reda, namun kesannya masih ada. Bukan sedikit baki penceramah yang meneruskan ucapan yang sama. Cuma masyarakat kita mulai berpendidikan dan sedar, perbalahan politik tidak sepatutnya sampai ke kancah kafir-mengkafir. Bukan saya menafikan seseorang muslim mungkin murtad atau terbatal syahadatnya jika melakukan perkara-perkara tertentu. Namun hukuman hendaklah berdasarkan peraturan syarak. Menghukum manusia lain secara melampaui batas atas sentimen perbalahan adalah perbuatan terkutuk yang dibenci Allah.




Perpecahan




Dalam sejarah, kafir-mengkafir secara rambang berakhir dengan penumpahan darah atau perpecahan yang meruncing. Itulah yang berlaku pada pemerintah Sayidina ‘Uthman bin ‘Affan r.a. sehingga beliau dibunuh atas fitnah pemberontak politik yang menggunakan isu agama, yang akhirnya membentuk mazhab Syiah.
Diikuti kemunculan puak Khawarij yang mengkafir sesiapa yang melakukan dosa khusus pemimpin politik seperti ‘Ali bin Abi Talib, Mu‘awiyah bin Abi Sufyan, ‘Amr bin al-‘As r.ahum. Khawarij mengangkat slogan: “Tidak ada hukum melainkan hukum Allah”. Slogan yang kelihatannya berteraskan al-Quran, tetapi dengan tujuan yang buruk. Kata Sayidina ‘Ali bin Abi Talib kepada mereka: “Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil”. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Manusia hidup berkomunikasi antara satu sama lain. Kadangkala kita berbalah dan bertelingkah. Namun jangan melampau. Sesiapa yang melampau dia layak diambil tindakan, bahkan diperangi. Firman Allah: Dan jika dua puak dari kalangan yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku melampau terhadap yang lain, maka perangilah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara);




Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertawalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (Surah al- Hujurat: 9-10)




* Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis